Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat berkata, jika semua pihak mengambil langkah keselamatan seperti dilakukan dalam mendepani ancaman wabak selesema burung dan kumpulan pengganas Daesh, beliau percaya kadar kehadiran pelancong ke negara ini tidak akan terjejas.

Beliau juga berharap agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang kemasukan virus zika de­ngan memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu sempadan.

“Kehadiran virus zika ini boleh disamakan dengan wabak se­lesema burung yang kita pernah hadapi dahulu, namun apabila semua pihak mengambil langkah berwaspada saya lihat (wabak tersebut) tidak memberi kesan kepada sektor pelancongan.

“Ini adalah salah satu cabaran yang perlu ditempuh oleh industri pelancongan, beberapa bulan dahulu kita diberi amaran tentang kehadiran virus zika sebelum bermulanya temasya Olim­pik Rio namun semua berjalan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran MATTA Fair 2016 yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan virus zika kini menghampiri angka 200 kes di Si­ngapura dan kes pertama di Ma­laysia disahkan Kementerian Kesihatan, kelmarin membabitkan seorang wanita dari Bandar Botanic, Klang, Selangor yang baru pulang dari Singapura untuk melawat anaknya yang turut dijangkiti virus tersebut.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 110,000 pengunjung ke MATTA Fair 2016 dengan jumlah jualan produk pelancongan dianggarkan ber­nilai RM200 juta.

Jelasnya, sebanyak 198 orga­nisasi mengambil bahagian dalam pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).